Sunday, May 15, 2011

DEB, MBE dan TERAJU

1. Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah dasar yang baik dan sesuai pada zamannya diperkenalkan pada 1970.

2. Apabila zaman berubah, maka kita juga perlu berubah untuk terus maju ke hadapan. Justeru, kita sepatutnya sudah memulakan dasar ekonomi yang lain seawal tahun 2000 lagi. Lebih-lebih lagi apabila DEB itu dimanipulasikan oleh pihak berkepentingan.

3. Jadi, National Economic Advisory Council (NEAC) ditubuhkan pada Julai 2009. Diketuai oleh Tan Sri Amirsham A Aziz bekas CEO Maybank. Senarai ahli majlisnya kelihatan bebas dari pengaruh politik. Tidak lama kemudian, keluar dokumen dari NEAC yang dinamakan Model Baru Ekonomi (MBE) untuk menggantikan DEB.

4. Maka berbincanglah pelbagai kumpulan dari pelbagai peringkat mengenai apa yang ada dalam MBE ini. Saya membaca setiap muka surat dokumen ini dan hadir dalam salah satu sesi pembentangan yang ada.

5. Secara peribadi, memang saya teruja sekiranya cadangan NEAC ini diterima sepenuhnya. Modelnya memang berbeza sungguh dengan DEB. Seperti yang pernah saya ulas dalam laman sosial antaranya, UMNOputra dan kroninya adalah golongan yang terkesan sekiranya MBE ini dilaksanakan. Justeru, saya terkejut apabila melihat DS Najib berani membuat perubahan ini.

6. Telahan saya tepat, dan cadangan NEAC ini hanya tinggal cadangan apabila pada 8 Februari 2011, PM melalui Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang mana DEB akan diteruskan dengan nama yang lain pula.

7. Maka menurut Datuk Dr Zainal Aznam, salah seorang ahli NEAC, Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) telah berjaya mendesak kerajaan DS Najib agar mengekalkan kerangka DEB yang kini diterjemahkan melalui TERAJU. PERKASA sendiri secara terang-terangan memang berbangga dengan ‘kejayaan’ mereka mengekalkan kepentingan Bumiputera seperti kuota ’30 peratus’ sedangkan kita sepatutnya sudah mula menguasai 100%!

8. Bagi saya ini memang langkah ke belakang apabila kita masih mahukan kerangka DEB memandu kita menghadapi abad ini, yang jauh berbeza dari zaman 1970.

9. Kepada tuan puan pembaca budiman, negara kita tidak pergi ke mana. Pakatan Rakyat dengan gaya politik dan cadangan-cadangan pengurusan ekonomi mereka pun sebenarnya tidak membawa kita ke mana. Undi PR begitu, undi BN pun begini. PR hanya tahu mainkan sentimen harga barang naik, BN hanya mahu kekal status quo.

10. Negara kita tidak mahu berubah. Kita tiada pemimpin dan negarawan melainkan hanya sekumpulan politikus yang berebut mahukan kerusi empuk Putrajaya. Kita perlu berubah segera! Harapkan KWSP sahaja sebagai simpanan hari tua?